Tak Boleh Klik Kiri

Jumaat, 30 April 2010

Tasauf Dan Matlamatnya



PENGENALAN

Firman Allah Taala

"Dan bahawasanya, jikalau tetap berjalan lurus di atas jalan itu benar-benar Kami akan memberikan minum kepada mereka air yang segar ."
[Al-Jin: 16]

"Maka barangsiapa yang ingin akan menemukan Allah, maka hendaklah ia mengerjakan amalan Sholeh(baik) dan janganlah ia mempersekutukan Allah"
[Al-Kahfi:110]

Sebuah hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah;

".............Apakah Ikhsan itu? Jawab Nabi : Ikhsan iaitu keadaan engkau menyembah Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya maka Allah melihat engkau."
[HR. Bukhari]

Ayat ini oleh para Ulama' ahli Sufi dijadikan pegangan hukum dasar melaksanakan amalan-amalan yang diajarkan. Meskipun masih ada sebahagian orang yang menentang dijadikannya ayat itu sebagai dasar hukum tersebut (Tasauf).

Para Ulama' dari kalangan aliran/mazhab apa pun sama berpendirian bahawa faktor Iman dapat dipelajari daripada ilmu pengetahuan yang dinamakan Ilmu Usuluddin atau Ilmu Kalam atau juga Ilmu Tauhid. Sedang Islam dapat dipelajari daripada Ilmu Fiqeh atau sering juga dikenal dengan sebutan Ilmu Syariat. Demikian pula halnya dengan Ikhsan dapat dicapai dengan mempelajari dan mengamalkan Ilmu Tasauf yang dinamakan juga dengan Ilmu Makrifat..


ASAL USUL MAKRIFAT

Rasulullah SAW mengajar kepada sahabatnya Saidina Ali Karamullah.

Saidina Ali Karamullah mengajar kepada Imam Abu Hassan Basri.

Imam Abu Hassan Basri mengajar kepada HabibAn Najmi.

Habib An Najmi mengajar kepada Daud Attaie.

Daud Attaie mengajar kepada Maaruf Al Karhi.

Maaruf Al Karhi mengajar kepada SirrisSakati.

Sirris Sakatari mengajar kepada Daud Assakatar.

Daud Assakatar mengajar kepada Al Junaidi.

Maka Al Junaidi yang terkenal sebagai pengasas MAKRIFAT.


Maka pancaran makrifat itu dari empat sumber iaitu:

Pancaran daripada sumber SULUK yang dinamakan Makrifat Musyahadah.

Pancaran daripada sumber KHALUAT yang dinamakan Makrifat Insaniah.

Pancaran daripada Inayah yang dinamakan ROHANI.

Pancaran daripada Pertapaan yang dinamakan JIRIM.

Maka dari sumber amalan itulah terbit makrifat yang tinggi dan mempunyai rahsia yang sulit.

----------------||----------------



Kata Syeikh Abul Muwahib Muhammad Zainal Abidin Ibni Muhamammad AlGhamari rahimallah Taala di dalam Kitabnya yang bernama "Minahul Ilahiyah".

Bermula Tauhid itu empat martabat:

Pertama. LailahaillaLlah serta lalai hati daripadanya atau serta mengingkarinya, seperti tauhid orang munafiq.

Kedua Tauhid segala 'Awamul Muslimin iaitu menyebut LailahaillaLlah serta membenarkan pada hati akan yang demikian itu.

Ketiga; Tauhid orang "Muqarrabin" iaitu jalan kasyaf dengan perantaraan "Nurul Haq" Seperti ia melihat akan segala perkara itu keluar sekeliannya dari Allah Taala dengan halnya.

Keempat; Tauhid "Khowashul khowash" iaitu bahawa tiada dilihat pada wujud ini melainkan Tuhan Yang Esa. Dinamakan "Ahlush Shifi",

"fana" di dalam tauhid. Tiada dilihat akan dirinya sebab melihat akan Tuhannya. Dan inilah sehingga nya di dalam "Ilmu Kasyaf", iaitu "Musyahadah orang yang Siddiqin".


----------------||----------------


Pertama : Dari segi existetensi amalan tersebut yang bertujuan hendak mencapai pelaksanaan syariat secara tertib dan teratur serta teguh di atas norma-norma yang semestinya dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya. Hal ini sesuai dengan firman Allah Ta'ala, yang bermaksud:

"Dan bahawasanya, jikalau tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam) benar-benar Kami akan memberikan minum kepada mereka air yang segar (rezeki yang banyak)."
[Al-Jin : 16]

Ayat ini oleh para Ulama' ahli Sufi dijadikan pegangan hukum dasar melaksanakan amalan-amalan yang diajarkan. Meskipun masih ada sebahagian orang yang menentang dijadikannya ayat itu sebagai dasar hukum tersebut (Tasauf).

----------------||----------------


Sebagaimana diterangkan di dalam Hadis Rasulullah SAW, bermaksud :

"Diriwayatkan dari Abu Hurairah berkata bahawa pada suatu hari Nabi berada di tengah-tengah sekelompok orang banyak, tiba-tiba ada seorang laki-laki (Jibrail) datang kepadanya seraya bertanya : Apakah Iman itu? Nabi menjawab: Iman ialah :

  1. Kamu percaya adanya Allah.
  2. Dan percaya kepada Malaikat-Nya.
  3. Percaya akan bertemu Allah di hari Akhirat.
  4. Percaya terhadap para Rasul-Nya.
  5. Percaya kepada adanya hari kebangkitan.


Selanjutnya laki-laki tersebut bertanya lagi kepada Nabi : Apakah Islam itu? Jawab Nabi : Islam ialah menyembah kepada Allah dan jangan menyekutukan-Nya, mengerjakan solat (fardhu), menunaikan zakat, berpuasa Ramadhan. Kemudian laki-laki itu bertanya lagi kepada diri Nabi : Apakah Ikhsan itu? Jawab Nabi : Ikhsan iaitu keadaan engkau menyembah Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya maka Allah melihat engkau."
[HR. Bukhari]

Dalam Hadis ini dapat difahami adanya beberapa pengertian bahawa kehidupan agama dalam jiwa seseorang akan menjadi sempurna jika dapat dikumpulkan tiga faktor pokok yang sangat menentukan, iaitu Iman, Islam dan Ikhsan. Masing-masing dapat dicapai lantaran mempelajari dan memahami serta mengamalkan ilmu-ilmu yang membicarakan tentang masalahnya.

Para Ulama' dari kalangan aliran/mazhab apa pun sama berpendirian bahawa faktor Iman dapat dipelajari daripada ilmu pengetahuan yang dinamakan Ilmu Usuluddin atau Ilmu Kalam atau juga Ilmu Tauhid. Sedang Islam dapat dipelajari daripada Ilmu Fiqeh atau sering juga dikenal dengan sebutan Ilmu Syariat.

Demikian pula halnya dengan Ikhsan dapat dicapai dengan mempelajari dan mengamalkan Ilmu Tasauf.

Iman, Islam dan Ikhsan, ketiganya berkaitan erat dalam mencapai sasaran pokok yakni "Mengenal Allah untuk diyakini". Hal ini menuntut terwujudnya sikap tindak perbuatan nyata dalam hidup ini, sebagai bukti kepatuhan melaksanakan segala yang diperintah, dikerjakan dan yang dilarang ditinggalkan dengan penuh ikhlas kerana Allah semata disertai penuh rasa cinta terhadap-Nya.

Manakala keadaan semacam ini sudah sampai pada puncaknya maka akan tercapailah hakikat tujuan hidup yang sebenarnya sesuai dengannya

----------------||----------------



Ilmu Tasauf yang benar tidak sekali-kali bertentangan dan memang tidak boleh bertentangan dengan ajaran Al-Quran, Hadis dan Sunnah Rasulullah SAW. Sebab sebagai suatu cabang cabang ilmu ke Islaman, Tasauf tidak boleh bertentangan dengan sumber asalnya. Andaikata terdapat seorang yang mengaku dirinya Sufi atau mengaku dirinya sudah kenal hakikat, tetapi ia menyalahi dan melanggar hukum-hukum syariat, ternyata benar bahawa mereka itu adalah manusia jahil dan sesat Imannya.

Saya ingin menyentuh sedikit tentang bab Solat (sembahyang) di dalam perbahasan ini. Ada seorang netters yang mempertikaikan tentang ajaran Keronahian ini yang katanya tidak perlu mengerjakan solat, cukup setakat berniat sahaja. Begitu juga dengan puasa, cukup dengan berniat sahaja. Dan perkara ini pula berlaku ke atas kerabatnya (keluarga) sendiri. Lalu dengan firasat yang rendah akhlaknya, menisbahkan perkara yang bertentangan syara' ini disama tarafkan dengan ajaran "Tariqat/Tasauf"!

Apakah bendanya ini???

Apakah celupar dan dangkalnya (jumud) fikiran mereka???

Ini adalah tidak benar! Sesuatu yang amat tidak benar!

Kemantapan jiwa dicapai dengan solat (sembahyang), zikir, doa, istighfar, mentauhidkan Allah, menginsafi kebesaran Allah, menautkan diri dengan pengucapan-pengucapan Rabbani, Puasa dan sebagainya. Perkara-perkara ini dilakukan secara terus-menerus tiap masa beraleh dan beredar.

Amalan ini dikaitkan dengan masa tertentu agar manusia merasakan betapa nikmat Allah dalam penghayatan masa-masa itu dan betapa mahalnya nilai masa-masa itu.

Oleh itu, janganlah diletakkan perkara atau hal ini kepada Tasauf kerana ilmu Tasauf tidak bersifat tercela malah tidak pernah menganjur atau menaburkan bid'ah-bid'ah dhalalah (sesat), dan tidak pernah mendidik pada sesiapa dengan perkara yang bertentangan dengan hukum-hukum syariat Rasulullah SAW, bahkan menganjurkan perkara yang dituntut oleh syara' iaitu mematuhi dan mentaati segala perintah Al-Quran, Hadis dan mengikut Sunnah Rasulullah SAW.

Dari itu bukanlah salah ilmu Tasauf malah tidak ada kena-mengena langsung kepada apa yang dilakukan oleh manusia durjana sama ada yang mengaku diri orang Sufi atau mengaku diri diri sudah kenal hakikat, kesalahan yang mereka lakukan itu, merekalah yang bertanggungjawab, bukannya ilmu Tasauf/Tariqat yang hendak disalahkan.

----------------||----------------



TASAUF DAN MATLAMATNYA
Hubungan Ketinggian Hal-ahwalnya denganSyariat


----------------||----------------


Pada pandangan tuan, apakah sebenarnya tasauf? Adakah wahdatul wujud itu tasauf? Apakah matlamat (ultimate goal) belajar tasauf? Ramai yang saya jumpa mereka-mereka yang belajar tasauf itu meringan-ringankan syariaat. Sepatutnya, semakin tinggi ilmu tasauf semakin kuat syariaatnya. Sebagaimana kata-kata Imam Ghazali and Syeikh Ahmad Sirhindi, tak mungkin menemui hakikat bathin jika tidak melalui hakikat zahir. Apa pendapat tuan?

----------------||----------------



APAKAH SEBENARNYA TASAUF?

Menurut catatan Al-'alim Al-'Alamah A-Sheikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain Mustafa Al-Fathoni (Guru kepada Wali Allah Yang Tersohor Tok Kenali);

Kata "Tasauf" timbulnya dari banyak pengertian, akan tetapi dipersingkatkan dari dua istilah sahaja iaitu "Pengertian pada lughah" dan "Pengertian pada istilah ahli hakikat".

1. Makna pada lughoh ialah;

Memakai shauf ertinya bulu(bulu baju). Bahawa adalah sebahagian besar pengikut-pengikutnya pada zaman dahulu memakai baju yang dibuat daripada bulu-bulu. Kelakuan mereka dengan pakaian demikian itu menyalahi adat kebanyakan manusia yang selalu dengan pakaian yang serba indah. Pengikut tasauf tidak gemar dengan pakaian yang indah-indah.

2. Makna pada istilah ahli hakikat ialah;

Berakhlak dengan segala kelakuan "At-Thoifah Al-Sufiyah" bertawasul dengan segala sifat mereka, bertalian dengan rantai yang bersambung kepada mereka. Berkata Imam Sufi Al-Sheikh Junaid Al-Bagdadi;

"Dimatikan(fana) kamu oleh Al-Haq daripada engkau dan dihidupkan kamu dengan Dia"

Tasauf juga diertikan; "Berhenti dengan sekelian adab yang dibangsakan kepada Syarak yang zhohir dan yang batin".

Bererti juga; "Kesempurnaan manusia dengan Islam, Iman dan Ihsan".

Bererti juga; "Menyerahkan diri semata-mata kepada Allah atas sekelian kehendak dan cita-cita".

Sebahagian orang berpendapat; "Berpegang dengan kefakiran dan Iftikor(berhajat kepada Allah). Tahqiq dengan pemberian dan Aisar (pengutamaan akan orang lain), meninggalkan tentangan qada dan qadar dan ikhtiar".

Demikianlah pengertiaan Tasauf yang dibuat oleh Guru Tok Kenali.

Basyir Al-Haris salah seorang Ahli sufi dalam memberi erti Tasauf, ia berkata;

"Orang sufi ialah yang telah bersih hatinya semata-mata untuk Allah".

Abu Muhammad Al-Jurairi berkata, Tasauf ialah masuk ke dalam budi menurut contoh yang ditinggalkan oleh Nabi dan keluar daripada budi yang rendah".

Syeikhul Islam Zakaria Al-Ansari berkata;
"Tasauf ialah ilmu yang menerangkan hal-hal tentang cara mensuci-bersihkan jiwa, tentang cara memperbaiki akhlak dan tentang cara pembinaan kesejahteraan lahir dan batin untuk mencapai kebahgiaan yang abadi".

Kata guru Tok Kenali(Sheikh Ahmad Al-Fathoni), semua defenisi yang berbagai corak itu ragam yang lebih tepat di sisi penghulu kita Al-Sufiah dapat difahamkan daripada dua bait puisi ini;

"Bersalah-salahan manusia pada tempat pecahan sufi dan telah berlain-lainan pendapat mereka itu kepadanya;

Mereka menyangka berasal daripada kata Saufa;

Tiadalah aku memberi nama ini iaitu sufi itu akan yang lain daripada seorang pemuda yang bersih dan berpakaian Sauf sehingga dia dinamakan seorang sufi.

Asal kata sufi itu diambil dari kata "Sofa" yang dapat diertikan dengan bersih, jernih, dinamakan "SALIK" iaitu yang berjalan kepada Allah dengan cara-cara Sufi itu kerana bersih hatinya, suci batinnya dan bersih juga zhohirnya daripada lain daripada Allah. Perlu juga diperjelaskan nama-nama lain bagi Ilmu Tasauf ini.

Berlain-lainan nama yang diberikan kerana berdasarkan perbezaannya pada hantarannya dan pendekatan yang digunakan, namun maksud dan arah tujuannya tetap satu jua. Antaranya ialah

1. Ilmu Batin

2. Ilmu Qalbi - Ilmu Hati

3. Ilmu Laduni - Ilmu di sisi Allah

4. Ilmu Mukasyafah - Ilmu Pembukaan

5. Ilmu Asror - Ilmu Sekelian Rahsia

6. Ilmu Maknun - Ilmu yang disembunyikan

7. Ilmu Hakikat

8. Ilmu Tahqiq

9. Ilmu Makrifat

10. Ilmu Diri

11. dan lain-lain lagi.

Tersebut dalam kitab "Jawahirul Feqah" bahawa Ilmu Qalbi itu adalah zauqi ertinya dibangsakan kepada perasaan semata-mata. Juga adalah dari Wujdan; ertinya dibangsakan kepada pendapat yang tidak dapat digigit, tak dapat dikomentrikan segala lidah kelam tak dapat ditulis oleh mata qalam, tak dapat meliputi oleh daftar dan waham. Status pada pengetahuan yang zhohir itu seumpama buah dengan pohon. Kemulian tetap bagi pohon kerana dia mendapat nama - tetapi pohon tidak bermanfaat jika tidak berbuah.

Sheikh Ahmad Al-Fathoni berpendapat;

"Buah tidak diperdapat jika pohon hidup tidak subur".

Kenyataan ini tidak berlawanan dengan penemuan kritis Imam Ghazali dalam memperkatakan tentang kedudukan Ilmu Tasauf ini jika dibandingkan dengan ilmu-ilmu yang lain iaitu;

"Ketahuilah bahawa Ilmu Aqli adalah tunggal dengan zatnya [bersendirian iaitu diasaskan atas akal semata-mata], daripadanya lahir ilmu yang tersusun yang dalamnya terdapat seluruh Hal Ehwal dua ilmu yang tunggal. Ilmu yang tersusun itu ialah ilmu ahli-ahli Tasauf dan jalan ehwal mereka. Mereka mempunyai ilmu yang khas dengan jalan yang terang yang terhimpun dari dua ilmu".

Ilmu mereka terdiri dari
• Hal,
• Waktu,
• Samaa',
• Wujdan,
• Sheikh,
• Sakr,
• Sohwu,
• Isbat,
• Mahwu,
• Fakir,
• Fana,
• Wilayah,
• Irodah,
• Murid

dan apa yang berhubung dengan Hal Ehwal mereka serta tambah-tambahannya, sifat-sifat dan makam-makam.

Yang dimaksudkan dengan terhimpun dari dua ilmu ialah gabungan antara "Ilmu Tentang Cara-cara Beramal"(Ilmu Syariat) dengan Ilmu Yang Hasil dari Amalan. Dalam kitab-kitab tua kebanyakan pengarang lebih suka menggunakan istilah Wirid bagi menunjukkan amalan praktik Ilmu Syariat ini dan istilah Warid bagi menunjukkan Ilmu Yang Hasil dari Amalan Syariat.

Kita lihat pula satu catatan yang amat bermakna dari Imam Ghazali pada kitabnya Al-Munqidz-Minadhdholal(pembebasan dari kesesatan) yang boleh menjernihkan makna dan pengertian Tasauf ini sebagaimana berikut;

"Perhatianku berpusat kepada jalan Sufiah. Nyata sekali jalan ini takkan dapat ditempuh melainkan dengan Ilmu dan 'Amal. Pokoknya harus menempuh tanjakan-tanjakan batin dan membersihkan diri. Hal ini perlu untuk mengosongkan bathin dan kemudian mengisinya dengan zikir kepada Allah Taala. Bagiku ilmu lebih mudah daripada 'amal.

Maka segeralah aku memulai dengan mempelajari ilmu mereka, membaca kitab-kitab mereka, di antaranya Kitab Qutul Qulub karangan abu Thalib Al-Makki dan kitab-kitab karangan Al Harsi Al Muhasibi serta ucapan-ucapan Al-Junaid, Asy-Syibli, Abu Yazid al-Bustomin dan lain-lain. Dengan itu dapatlah aku memahami tujuan mereka.

Penjelasan lebih jauh aku dengar sendiri dari mulut mereka. Yang lebih dalam lagi hanya dicapai dengan Dzauk(rasa pengalaman bathin), pengalaman dan perkembangan bathin. Jauh nian perbezaan antara mengetahui erti sehat atau kenyang dengan mengalami sendiri rasa sehat dan kenyang itu. Mengalami mabuk lebih jelas daripada hanya mendengar keterangan tentang ertinya, padahal yang mengalami mungkin belum mendengar sesuatu keterangan tentang demikian itu.

Tabib yang sedang sakit, tahu banyak tentang sehat, tetapi ia sendiri sedang tidak sehat. Tahu erti dan syarat-syarat zuhud tidaklah sama dengan bersifat zuhud. Yang penting bagi mereka adalah pengalaman bukan perkataan. Apa yang dapat dicapai dengan ilmu telah kucapai. Selanjutnya harus dengan Dzauk dan "suluk"(menempuh perjalanan batin).

Rumusan dan kefahaman yang boleh dibuat daripada definisi dan maksud-maksud di atas, Ilmu Tasauf ialah sesuatu Ilmu yang didasarkan kepada mengamalkan dengan Ilmu yang diketahui. Bukan semata-mata tahu teori dan bercakap dan menggunakan istilah-istilahnya, tetapi dengan beramal dan ianya mencakupi dalam mana-mana hal-ahwal mengikut kesucian jiwa dan ketinggian peribadi dan berperangai dengan sifat-sifat yang mulia sebagaimana isyarat berikut;

Seorang Arifbillah berkata; At-Tasauf, iaitu berhenti serta adab syariat yang zhohir dan batin. Maka ia melihat akan hukumnya daripada zhohirnya di dalam batinnya. Yang batinnya pada zhohirnya. Maka shahih daripada dua hukum itu, sempurna dengan tiada sempurna kemudian daripadanya. Atau dikata "Jernih zhohir" daripada dosa dan "jernih batin" daripada agyar".

Sekali-kali tidak berpisah dari hukum takhlif yang lima malah ia adalah pokok utama kepada Ilmu Tasauf. Bagaimana pula hukum takhlif(syariat) ini boleh diremeh-remehkan oleh seorang Sufi sebenar?.

----------------||----------------



APAKAH MATLAMAT (ULTIMATE GOAL) BELAJAR TASAUF?

Tujuan pokok Ilmu Tasauf ialah untuk sampai kepada Allah, untuk mencapai makrifat dengan ertikata yang sebenarnya, terbuka hijab antara hamba dengan Dia(Allah).

Telah berkata ahli-ahli sufi: "Permulaan tasauf adalah ilmu pengetahuan, pertengahan ialah Istiqamah dengan amal ibadat, akhirnya ialah Mahabbah adalah anugerah atau pemberian Allah".

  • Maka ilmu pengetahuan itu membukakan kehendak.
  • Amal ibadat itu menolong apa yang dimaksudkan.
  • Pemberian itu menyampaikan kepada apa yang dicita-cita.


Di samping itu banyak sekali tujuan-tujuan yang hendak diperoleh antara lain iaitu :

  1. Dengan mengamalkan Tasauf bererti mengadakan latihan jiwa (Riadhah) dan berjuang melawan hawa nafsu (Mujahadah), membersihkan diri dari sifat-sifat tercela dan diisi dengan sifat-sifat terpuji dengan melalui perbaikan budi pekerti dalam berbagai seginya, sepertimana pakaian budi-pekerti Ambiya, Mursalin, Aulia Allah dan Sholihin.
  2. Selalu dapat mewujudkan rasa ingat kepada Allah Zat Yang Maha Besar dan Maha Kuasa atas segalanya dengan melalui jalan mengamalkan wirid dan zikir disertai tafakkur yang secara terus menerus dikerjakan.
  3. Dari sini timbul perasaan takut kepada Allah sehingga timbul pula dalam diri seseorang itu suatu usaha untuk menghindarkan diri dari segala macam pengaruh duniawi yang dapat menyebabkan lupa kepada Allah.
  4. Jika hal itu semua dapat dilakukan dengan penuh ikhlas dan ketaatan kepada Allah, maka tidak mustahil akan dapat dicapai suatu tingkat alam Ma'rifat, sehingga dapat pula diketahui segala rahsia di balik tabir cahaya Allah dan Rasul-Nya secara terang-benderang.
  5. Akhirnya dapat diperoleh apa yang sebenarnya menjadi tujuan hidup ini.


Demikian antara lain beberapa tujuan yang akan diperoleh bagi setiap orang yang mengamalkan Tasauf. Untuk Ilmu dan Menyempurnakan Amal Ibadat. Jelasnya ia akan dapat mengerjakan syariat Allah dan Rasul-Nya dengan melalui jalan atau sistem yang menghantarkan tercapainya tujuan hakikat yang sebenarnya sesuai dengan yang dikehendaki oleh syariat itu sendiri.

Tegasnya jika saudara dapat menanggapinya akan sebenar-benar maksud dan tujuan Tasauf ini saudara akan menyedari bahawa seorang yang merasa dirinya belajar Ilmu Tasauf perlu memiliki petunjuk-petunjuk seperti di atas sebagai pengesahan bahawa mereka belajar dan mengamalkan tasauf. Suka saya senaraikan ringkasan perkara-perkara yang boleh dijadikan petunjuk agar saudara-saudara tidak terkeliru.

  1. Seorang ahli tasauf yang tulen ialah seorang yang mengetahui dan memiliki Ilmu Fekah dan Ilmu Tauhid yang mantap sehingga digelar "Fakeh Yang Sufiah" bukan "Sufiah Yang Fakeh"
  2. Sentiasa menjunjung dan memuliakan hukum syarak Allah
  3. Amalan mereka sentiasa meningkat dari masa ke semasa malah melebihi kebanyakan orang sesuai dengan peningkatan maqamnya.
  4. Memiliki ketinggian dan kehalusan budi-pekerti yang mulia mewarisi peribadi Rasul, Nabi, Aulia Allah dan Sholihin.
  5. Mendasari kepada panduan al-Qur'an dan jalan Rasulullah SAW, para sahabat, Aulia Allah dan orang-orang Sholihin.
  6. Ikhlas dalam membuat hubungan Allah dan dengan sesama makhluk.
  7. Bersifat zuhud dengan dunia.
  8. Sedikit cakap tapi amal banyak.


Jika demikian bagaimanakah boleh terjadi "Ramai yang saya jumpa mereka-mereka yang belajar tasauf itu meringan-ringankan syariaat".

Macamana mereka belajar ni? Kaedah mana yang dipakai? sehingga boleh meringan-ringan syariat sedangkan Tasauf ialah gabungan amalan ilmu tentang cara-cara beramal(ilmu syariat) dengan Ilmu yang hasil dari amalan(Warid). Tanpa amal maka tiada syariat. Bila tiada syariat maka tidak ada tasauf, demikian juga semakin lemah atau kurangnya wirid, maka semakin berkuranglah darjah kekuatan Ilmu Tasauf.

Dinisbahkan kaitannya dengan syariat, belajar ilmu tasauf ini adalah semata-mata untuk menghidupkan ruh syariat di samping memperhiasinya dengan perhiasan dan pakaian jiwa aulia allah dan para Rasul dan Nabi. Tapi jika diringan-ringankan syariat, tidak ada syariat, atau dibuang syariat atau ditinggalkan syariat;

  • maka apakah yang hendak dihidupkan?
  • apakah benda yang hendak dihiaskan?
  • dan apakah benda yang hendak dipakaikan?
  • mana amalan yang hendak dihakikatkan


Tentang ini, seringkali saya ingatkan dalam tulisan-tulisan saya dengan isyarat-isyarat seorang Aulia Allah akan kepentingan syariat ini seperti berikut;

"Hakikat tidak akan muncul sewajarnya jika Syariat dan Thoriqat belum betul lagi kedudukannya. Huruf-huruf tidak akan tertulis dengan betul jika pena tidak betul keadaannya."

Ini amat perlu diingat-ingatkan selalu! Jika sekiranya ini berlaku di kalangan mereka yang mengaku belajar tasauf tetapi dalam pada itu meringan-ringan syariat atau meninggalkan terus syariat, yakinilah bahawa sebenarnya mereka hanya mendakwa semata-mata, malah mereka adalah golongan bidaah yang amat bahaya dan boleh mencemarkan kesucian Ilmu Tasauf ini.

Berkata Abu Qasim Al-Qusyari r.a;

"Tiap-tiap syariat yang tiada dikuatkan dengan hakikat adalah dia tidak diterima. Tiap-tiap hakikat yang tak diikatkan dengan syariat tiadalah berhasil. Maka syariat itu mendirikan dengan barang yang disuruh, sedangkan hakikat memandangkan kepada barang yang diqada dan qadar sama ada yang tersembunyi dan yang nyata".

Berkata Imam Ghazali;

"Barangsiapa menyangka bahawa dia berserta Allah, sehingga menggugurkan daripadaanya kewajipan sembahyang, atau halal meminum arak, maka wajiblah dibunuhnya. Membunuh orang seumpama itu lebih baik daripada membunuh seratus kafir kerana adalah dhorurah daripadanya itu lebih banyak".

Ibnu Taimiyah menyebutkan bahwa ia setuju dengan pandangan Al-Fudhil bin ‘Iyadh tentang satu ayat al-Quran: "Agar Dia menguji siapakah di antara kamu sekalian yang lebih amalnya."
[Hud:7]

Kemudian dia melanjutkan; ...dengan ikhlas dan benar: Murid-muridnya bertanya; "mengapa mesti ikhlas dan benar?"

Al-Fudhil menjawab;

"Karena Allah tidak akan menerima perbuatan benar tanpa didasari ikhlas Lillahi Ta’ala, pun sebaliknya Dia tidak meridhai amal yang kamu dasari hati ikhlas sedang itu adalah perbuatan salah, maka amalmu harus didampingi keduanya, ikhlas dan benar".

Berkaitan dengan ini Asy-Syubli berpendapat tentang cinta kepada Allah:

"Kamu durhaka kepada Allah, padahal kamu berharap cintanya. Hal itu jelas tidak logik, bila cintamu itu tulus, pastilah kamu mentaatinya. Sesungguhnya orang yang bercinta itu patuh kepada yang dicintainya."

Tersebut dalam Kitab Ilmu Tahqiq, Manhalus Shofi; Seorang Wali Allah yang tersohor, Abu Yazid Al-Bustomin, ketika mendengar munculnya seorang Wali di hujung sebuah kampung yang heboh diperkatakan oleh orang ramai. Beliau pun berhasrat untuk menemuinya lantas ke tempat tinggal Wali itu. Tapi setelah beliau melihat(sewaktu hampir sampai) orang yang dikatakan Wali itu meludahkan air liurnya ke arah Kiblat, Abu Yazid terus berpaling dan beredar dari tempat itu sambil berkata, "Lelaki yang tiada percaya atas sunnah syariat maka bagaimana pula percaya atas Rahsia Wilayahnya".

Jika dengan perkara makruh(meludah ke arah kiblat) pun diambil kira dalam menilaikan kesempurnaan atau betul salahnya, maka lebih-lebih lagilah jika ada yang mengerjakan perkara yang haram atau meninggalkan yang sunat. Semata-mata dusta dan jahil dalam agama. Dengan sebab itulah sebahagian dari takrif/maksud tasauf ialah "menghilangkan dakwa". Mendakwa diri seorang sufi atau beramal tasauf tetapi syariat-tunggang langgang.

Ini manusia pembohong, pengkianat dan ahli bidaah yang mencemarkan kesucian ilmu orang-orang sholihin. Aulia Allah, para ambiya dan Mursalin.

Dengan kerana adanya segelintir mereka inilah, berbagai-bagai fitnah dan tuduhan dilontarkan kepada Tasauf malah termasuklah kepada Aulia-aulia Allah. Kerena nila setitik rosak susu sebelanga.

Junaid Al-Baghdadi, pada waktu menerangkan tujuan Shufi, mengatakan,

"Kami tidak mengambil Tasawwuf ini difikiran dan pendapat orang, tetapi kami ambil dari dari menahan lapar dan kecintaan kepada dunia, meninggalkan kebiasaan kami sehari-hari mengikuti segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang."

Sebagai mentahqiqkan lagi kefahaman kita bahawa di dalam Ilmu Tasauf tidak ada sebarang kompromi dengan mereka yang mendakwa bahawa apabila sudah tinggi atau sampai ke puncaknya, maka tidak perlu bersusah dan berpenat-penat dengan amal yang banyak, sila ikuti sambungan bicara ini pada tajuk Tasauf Rasulullah, Para Sahabat dan Aulia-aulia Allah. Insya Allah akan terbukti bahawa mereka yang meringan-ringankan Syariat adalah golongan bidaah yang sesat, perosak kemurniaan Tasuaf, dan semata-mata "ditindih perasaan" atau mendakwa mereka ahli tasauf sedangkan mereka sebenarnya "Ahli Dakwa"

Jika terserempak dengan mereka, berilah Peringatan kepada golongan ini dengan kata-kata yang dipesan oleh Wali Allah Abu Hassan al-Khorkhoni;

"Menganggap diri sendiri sebagai seorang Sufi itu adalah satu anggapan besar, sekurang-kurangnya dia bukanlah sufi".

----------------||----------------


TASAUF RASULULLAH SAW, PARA SAHABAT DAN AULIA ALLAH
Bandingan untuk mereka yang meremehkan Syariat

----------------||----------------



Tercatat dalam Kitab Ilmu Tahqiq Manhalus Shofi Fi Bayaani Ahli-Ssufi peringatan yang sangat penting bagi mereka yang ingin memasuki dunia Tasauf sebagaimana berikut;

Setengah daripada yang tidak dapat tidak(yakni WAJIB) bagi orang yang murid yang hendak berjalan kepada Allah Subhanahuwa Taala, jalan Ahlullah, iaitu bahawa hendaklah melazimkan diri dengan "Adab Syariat" Nabi kita Muhammad SAW. Yakni dengan memelihara segala perkara yang disuruh dan yang ditegah. Kemudian masuk ia pada "Thoriqat Nabi kita SAW" yakni mengikut akan jalan yang dikerjakan oleh Nabi yang terdiri dari amal atas sekuasa-kuasanya. Tiadalah maqam yang terlebih(afdhal) daripada mengikut Nabi SAW pada perbuatannya, tegahnya, kelakuannya dan perangainya. Tiada dapat sampai kepada Allah melainkan dengan mengikut Nabi kita SAW kerana dialah Ariffin yang mengetahui dengan sesuatu yang menghampirkan dirinya kepada Allah dan kepada redhaNya. Sesungguhnya telah berjalan Ia(Rasulullah SAW) dengan Dia bagi dirinya dengan demikian jalan.

Barangsiapa yang mengikut akan dia(Rasulullah SAW) padanya, maka tiada maqam yang terlebih afdhal daripada maqamnya. Setengah daripadanya dapat kasih Allah Taala seperti firman Allah Taala;

"Katakanlah olehmu ya Muhammad! Jika ada kamu kasih akan Allah, maka ikut oleh kamu sekalian akan daku nescaya dikasih akan kamu oleh Allah Taala"

Wali Qutub Sheikh Abi Madyan r.a ada membuat peringatan ini dalam Kitab Hikamnya;

"Diharamkan mereka itu sampai kepada Allah kerana meninggalkan mengikut"Thoriqat Muhammadiyah" (yakni Sunnah Rasulullah SAW) dan berjalan mereka itu dengan keinginan mereka".

Demikianlah dasar yang menjadi intipati sandaran para pendokong Ilmu Sufiah, tidak sama sekali berenggang jauh dengan petua dan amalan-amalan yang telah dilalui oleh Rasulullah SAW. Sejarah telah membuktikan akan keluhuran dan ketinggian peribadi Rasulullah SAW, para sahabat-sahabat yang keistimewaan dan kekuatan jiwa dan ruh Islam yang hakiki mengalahkan tamadun-tamadun yang sebelum itu, semasa itu dan selepas itu dan "isme-isme" yang ada sekarang ini.

"Dan apa-apa yang telah mendatang ia akan kamu oleh Rasulullah itu maka ambil oleh kamu dan apa-apa yang menegah ia akan kamu, maka berhentilah oleh kamu jangan dikerjakan".
[Al-Hasyr: 09]

Tulisan ini adalah sebagai lanjutan dari bicara mengenai Tasuaf dan maksud bertasauf. Di samping itu juga ia adalah merupakan usaha untuk mengheningkan kebingungan golongan yang mendakwa diri mereka pengamal tasauf sedangkan mereka telah tertipu dan terpedaya oleh syaitan laknatullah kerana meremeh-remehkan syariat malah ada yang sampai ke tahap membuang terus kemuliaan syariat ini semata-mata beralasan bila sudah berada dipuncak, segala hukum dan tuntutan syariat tidak boleh dipakai. Mereka bukan sahaja tergelincir dari "jalan yang benar" malah boleh menyebabkan orang awam(kebanyakan orang ramai) akan menjadi keliru dan turut terjebak dalam golongan yang suka saya gelarkan "Tasauf Pinggiranr".

Marilah sama-sama kita perhatikan bagaimana Tasauf membayangi kehidupan Rasulullah.

Mula hidupnya dengan mempelajari rahsia dan hikmah alam dengan bersunyikan diri diri Gua Hira' sehingga menjadi Rasul. Rasulullah sangat kuat bertahajud, beristigfar, berzikir, sembahyang hingga bengkak kakinya kerana lama berdiri Qiyam. Rasulullah menangis kerana takutkan TuhanNya. Rasulullah menunjukkan kepada Abu Hurairah rupa dunia yang kotor ini dengan contoh satu lopak yang bertimbun-timbun bangkai manusia dan binatang dan barang buruk buangan. Semua ini terang dalam hadis yang shohih.

Rasululah mengibaratkan dunia ini tidak pun bernilai timbangannya seberat sayap nyamuk.

Dalam satu hadis Qudsi Allah berfirman; "Aku di sisi orang-orang yang pecah remuk redam hatinya"

Rasulullah tidur di atas tikar yang kasar. Badannya berlarik bekas tikar itu di kedua lambungnya hingga menangis Sayyidina Omar Al-Khattab dengan keadaan Nabi itu.

Asas pembinaan peribadi yang luhur dengan ketaatan yang tinggi terhadap Allah Taala ini telah diwarisi oleh sahabat-sahabat baginda. Tiap-tiap seorang muslim pada zaman Rasulullah jadi Abid dengan hidup cara tasauf dalam kecergasan tabie semulajadi.

Sahabat-sahabat Nabi itu memandang dunia sebagai Rasulullah memandang dunia dengan rendahnya dan bersedia menghadap akhirat semata-mata kerana Allah. Kerana ringan dan murahnya nilai dunia ini, maka mudah sahaja dijijak dan diperhambakan hingga mereka menguasai dunia ini dan dengan dunia yang diperhambakan itu mereka membeli dan berjaya memenangi akhirat. Maka menguasai dunia untuk dijadikan tunggangan ke akhirat. Sekali-kali tidak ada peluang diberikan kepada dunia itu menakluki mereka atau mengatasi mereka. Kerana itu mereka berjaya di dunia dan di akhirat iaitu terus menang dlam jihad mereka.

Abu Bakar, bila beribadat kerana takut kepada Allah hingga bernyawa seperti jantung terbakar. Beliau membaca Al-Qur'an sepanjang malam; termakan makanan syubhat termuntah-muntah. Dalam satu peperangan Abu Bakar menyerahkan semua harta kekayaannya kepada Rasulullah kerana memenuhi seruan jihad. Inilah jiwa tasauf yang terpancar pada Abu Bakar Al-Siddiq.

Omar Ibni Al-Khattab yang menghancurkan Empayar Rum dan Parsi, menguasai timur dan barat yang bertamadun zaman itu penuh dengan kekayaan harta dan perbendaharaan; ia kerap makan tidak berlauk, bajunya bertampal 12 tampal, lambat satu hari ke masjid hingga tertunggu-tunggu jamaah yang hendak beriman akan dia. Bertanya sahabatnya; "Kenapakah lambat ya Amirul Mukminin?" Sahutnya; "Aku membasuh kain(dan tunggu hingga kering) tak ada kain lain". Inilah ruh Tasauf yang menjelma melalui Omar Ibni Al-Khattab.

Sayyidina Ali bin Abi Talib lebih lagi daripada Sayyidina Oma waraknya. Suatu hari dengan penatnya dia keluar mencari upah tetapi tidak berhasil. Bila balik didapatinya tersedia tiga biji tamar. Oleh kerabna sudah sehari suntuk tidak makan, tetapi bila ia hendak menyuap tamar yang ada di rumah itu teringat ia tidak tahu tamar siapa? hingga isterinya Fatimah menerangkan itu memang disimpankan untuknya. Baru ia hendak menyuap, tiba-tiba terdengar oorang memberi salam dan berkata; "Saya orang miskin kelaparan. Kerana Allah ..Ya Ali!!! berilah saya makanan". Tidak jadi ia menyuap makanan itu lalu diberikan kepada si miskin itu.

Bila akan menyuap yang kedua terdengar lagi satu salam dan menyeru; "Ya Ali.... saya anak yatim. Kerana Allah berilah saya makan kerana sangat lapar". Tidak jadi dimakannya tamar yang kedua itu lalu diberikan tamar itu.

Baru hendak menyuap yang ketiga, datang pula seorang lelaki. "Ya Ali...saya seorang yang merana. Kerana Allah berilah saya makan". Tamar yang akhir itu terus diberianya, tinggallah ia dengan kelaparan demi kerana Allah.

Pada hari wafatnya berpuluh-puluh janda meraung menangis hingga gempar dan hairan orang melihatnya. Bila ditanya kepada janda-janda itu?, jawab mereka:

"Tumbanglah harapan kami, putuslah pergantungan kami, kerana selama ini Ali lah yang menanggung dan menyara kehidupan kami" Tegasnya dalam sulit, tiada dengan tahu sesiapa Ali menolong janda-janda itu, Ali miskin kerana kesenangan orang lain. Inilah kemurniaan Tasauf yang bergemilapan pada peribadi Sayyidina Ali bin Abi Talib.

Abu Ubaidah bin Jarah, pahlawan Islam, pembuka dunia baru mengembangkan Islam, jadi Raja(Amir) di Syam negeri yang mewah makmur dengan kekayaan. Manakala Umar melawat Syam dan bila masuk ke istana tiada kelihatan apa-apa benda kecuali sebiji pinggang dan sehelai tikar. Umar pun menangis kerana kasihan dan sedihkan nasib Abu Ubaidah yang menderita dalam negeri yang mewah. Memandangkan hal itu, Abu Ubaidah berkata;

"Ya Amirul Mukminin, adakah tuan menangiskan nasib saya sedangkan saya telah menjaulkan dunia saya untuk membeli akhirat".

Generasi seterusnya terus mewarisi pesaka keluhuran budi dan ketinggian ubudiyah ini dengan
Melazimi dan mengekali wirid harian untuk mendapat Warid,

Imam Ali bin Hussin r.a sembahyang sunat sebanyak 1,000 rekaat sehari semalam.

Aulia Allah Daud Al-Thoni tidak mengunyah makanannya tetapii direndamnya dalam ayer dan menelannya. Apabila ditanya kenapa beliau berbuat begitu, beliau menjawab, untuk menjimatkan masa kerana masa itu saya gunakan membaca al-Qur'an.

Sheikh Junaid Al-Bagdadi menegaskan: " Apa yang aku dapat dalam bidang kerohanian adalah melalui tiga perkara: Pertama - menjauhkan dunia; Kedua - puasa; Ketiga - berjaga sepanjang malam.

Beliau berkata lagi Kesufian itu ialah lari dari dunia menuju Allah dan berada sentiasa dalam ibadat, carilah kesufian itu dalam diri sendiri

Sejarah Wali Allah Abu Hassan al-Khorkhoni mencatatkan selama 30 tahun dia tidak tidur malam.

Mansur bin 'Amar berkata; Kebersihan hati dicapai dengan empat latihan: bercampur dengan Aulia Allah, mengaji al-Qur'an, sembahyang di waktu malam, mengeluarkan air mata pada masa sembahyang.

Imamiyah Tasauf Sheikh Junaid Al-Baghdadi, pada waktu menerangkan tujuan Shufi, mengatakan, "Kami tidak mengambil Tasawwuf ini difikiran dan pendapat orang, tetapi kami ambil dari dari menahan lapar dan menahan kecintaan kepada dunia, meninggalkan kebiasaan kami sehari-hari mengikuti segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang."

Jelasnya dan nyata sekali kini, bahawa Ilmu Tasauf ini bukanlah semata-mata ilmu yang hanya bermain-main dengan kata-kata hakikat atau makrifat yang dijadikan topik perbualan di kedai-kedai kopi dengan meremeh-remeh dan mempersendakan syariat. Ianya adalah sesuatu yang "besar" melebihi jangkaun fikiran. Hayatilah catatan pengalaman Hujjatul Islam Imam Ghazali ini yang tercatat dalam Kitabnya Minhajul 'Abidin sebagai satu rumusan mengenai Tasauf ini

Ketahuilah .....Hal ibadat telah cukup kami fikirkan, telah pula kami teliti jalannya dari awal hingga tujuan akhirnya yang diidam-idamkan oleh para penempuhnya(abid/salik/ilmuan). Ternyata suatu jalan yang amat sukar, banyak tanjakan-tanjakannya(pendakiannya), sangat payah dan jauh perjalanannya, besar bahayanya dan tidak sedikit pula halangannya dan rintangannya, samar di mana tempat celaka dan akan binasa, banyak lawan dan penyamunnya, sedikit teman dan penolongnya.

Bayangan salah satu tempat celaka dan binasa ini boleh diambil iktibar dari kisah Sultanul Aulia Sheikh Abdul Qadir Jailani yang pada satu masa berada di dalam hutan tanpa makanan dan minuman beberapa lama. Tiba-tiba datang awan, lalu turun hujan. Dapatlah Sheikh itu menghilangkan dahaganya. Dengan tdak semena-mena datang satu lembaga yang bersinar tidak jauh dari situ dan lembaga itu berkata, "Aku ini Tuhan kamu. Sekarang ini aku halalkan segala yang haram untuk kamu". Mendengar itu Sheikh Abdul Qadir pun membaca; "A 'uzubillahi minassyathonir rajim". Lembaga itu bertukar jadi awam lalu berkata, "Dengan ilmumu dan rahmat Allah kamu telah terselamat dari tipu helahku" Kemudian syaitan itu bertanya kepada beliau bagaimana dia boleh mengenal syaitan itu dengan segera. Jawab Sheikh Abdul Qadir, bahawa apabila syaitan itu mengatakan yang ia menghalalkan yang haram, maka dengan serta-merta ia tahu bahawa bukan datang dari Allah Taala kerana Allah tidak menghalalkan segala yang haram.

Wallahu ta'ala a'lam.......


0 comments:

Catat Ulasan